Pantang Makan Daging Hari Jumaat
Saya tidak pasti sejak bila umat Katolik di Sabah tidak lagi perlu mematuhi peraturan pantang makan daging setiap hari Jumaat. Kebanyakan rakan saya berpendapat bahawa umat hanya pantang makan daging pada hari Jumaat pada musim Paska sahaja. Ada juga sebilangan yang berpendapat bahawa peraturan itu telah dimansuhkan!
Sebenarnya peraturan ini masih berkuat kuasa dan diguna pakai. Jika pembaca ada maklumat tentang pemansuhan peraturan ini, silalah menghubungi penulis agar perkara ini boleh diperbetulkan. Yang menyedihkan saya ialah apabila saya menegur atau memberi peringatan kepada rakan-rakan supaya tidak makan daging pada hari Jumaat, kebanyakan mereka tidak mengedahkannya malah ada yang mengumumkan kepada orang lain yang bukan Katolik bahawa peraturan itu tidak wujud atau telah dimansuhkan. Malah mereka mengatakan bahawa mereka juga beragama Kristian Katolik. Yang peliknya, mereka langsung tidak berdoa, dan jauh sekali daripada membuat tanda salib, sebelum mereka makan.
Sememangnya payah untuk berpantang makan daging setiap hari Jumaat. Setiap kali saya teringat akan peraturan ini, air mulut saya mula tercurah-curah apabila melihat masakan daging yang amat sedap untuk dijamah dan tersedia untuk dimakan di hadapan. Namun, jika saya bandingkan dengan dosa yang telah saya lakukan, ia tidak cukup untuk dihapuskan hanya sekadar berpantang makan daging. Tetapi, saya tetap mematuhi peraturan ini kerana ia dapat melatih saya untuk kuatkan iman, dan tidak hanya tunduk kepada kehendak nafsu dan tubuh badan kerana dosa juga asalnya daripada nafsu yang tidak terkawal.
Saya menyeru kepada mereka yang beragama Roman Katolik agar terus mengamalkan peraturan ini kerana ia memuliakan Allah. Ia mengingatkan kita tentang pengorbanan dan kematian Yesus di kayu salib demi keselamatan untuk kita semua.
Pujialah Tuhan Yesus, Raja segala raja. Amen.


22 Oktober 2008 at 3:17 pm
Salam Damai… Bila berkata tentang makanan saya ada beberapa persoalan. Benarkah orang Katolik diperbolehkan memakan apa sahaja binatang/haiwan(darat/laut) yang boleh dimakan manusia? (Dalam Kitab Perjanjian Lama ada disebut ciri-ciri binatang yang tidak boleh dimakan)
Kenapa pula orang SDA menolak untuk tidak memakan daging babi, makanan laut (udang , ketam sotong) dan ikan yang tidak bersisik?
22 Oktober 2008 at 5:52 pm
Adakah sdr/i Mayjune seorang umat Katolik? Memang benar bahawa manusia dibenarkan memakan haiwan apa sahaja asalkan ‘boleh dimakan’. Jika haiwan itu memudaratkan kesihatan, lebih baik dikurangkan pengambilannya atau tidak dimakan langsung. Ini terpulang kepada pilihan masing-masing. Semasa makan, kita haruslah mengamalkan kesederhanaan kerana makan secara keterlaluan adalah satu dosa.
Manusia tidak lagi terikat dengan Hukum Lama tetapi sudah dibebaskan oleh Hukum Baru yang dibawa oleh Yesus.
Umat SDA merupakan kumpulan orang ‘Kristen’ yang percaya bahawa tafsiran Alkitab menurut pengertian manusiawi semata-mata. Mereka tidak lagi menghormati Gereja dan sebaliknya menubuhkan gereja manusia atas autoriti pemimpin mereka.
Sila sdr/i mempelajari ajaran, doktrin dan dogma Katolik dengan tekun.
Deo gratias.
24 Februari 2012 at 10:15 am
Apa perkara yang perlu dilakukan jika tidak sengaja termakan daging pada hari jumaat semasa musim Pra-paskah?
24 Februari 2012 at 1:32 pm
Jika tidak sengaja, itu bukan dosa atau dosa kecil sahaja. Tetapi jika tiba-tiba teringat semasa daging masih di mulut, sila ludahkan. Jika sudah tertelan, biarkan sahaja tetapi jangan makan daging yang masih di atas pinggan. Anda juga digalakkan membuat pengorbanan lain atau tidak makan daging pada hari esoknya sebagai ganti. Matlamat utama kita adalah untuk menjauhkan diri daripada dosa, bukan sekadar tidak makan daging.