Archive for the ‘Roh Kudus’ Category

Adakah seminar ‘Hidup Baru Dalam Roh’ yang kerapkali dianjurkan oleh Gereja sekarang merupakan amalan Gereja Roman Katolik yang benar-benar Katolik? Saya kongsikan di sini pengalaman sebenar seseorang umat:

Apabila bercakap mengenai karismatik, sya teringat akan satu  anjuran gereja Katolik Iaitu “Hidup Baru Dalam Roh” saya pernah menyertainya dan mendengar cermah-ceramah yang amat berguna sekali.  Pada hari terakhir(waktu malam) kalau tidak silap kerana sudah lama) diadakan penyembuhan batin (tidak pasti dipanggil apa) tetapi ketika berdoa, bernyanyi tiba-tiba kedengaran orang disekeliling saya bercakap dalam bahasa yang tidak pernah saya dengar dan tidak saya fahami.  Kami diminta berlutut. berdoa dlm hati serta mengingati perkara-perkara yang menyebabkan kita menderita batin atau dikatakan luka-luka batin dan memaafkan mereka yang menyebabkan luka-luka batin tersebut. Tiba-tiba ketika saya sedang berdoa, saya mendengar seseorang berkata dibelakang supaya saya membuka/melapangkan hati mengikuti bahasa-bahasa yang saya tidak fahami itu agar saya dapat mengikutinya.  Saya mencuba tetapi saya tidak dapat mengikutinya.  Tiba-tiba saya mendengar raungan, tangisan serta bahasa-bahasa yang tidak saya fahami, ketika itulah saya tiba-tiba diperlihatkan/ merasakan  tentang keadaan sekeliling didalam gereja tersebut (dalam keadaan mata tertutup) sangat banyak sekali seakan manusia yang tidak kelihatan wajahnya berpakaian semuanya putih berterbangan tidak tentu arah sehingga meremangkan bulu roma dan tanpa sedar saya berteriak ketakutan.  Pada saat itulah saya membuka mata dan terus melihat sekeliling dan mendapati beberapa orang pengsan, menangis, berdoa dgn bahasa yang tidak difahami malah ada yang muntah-muntah.  Ketika semuanya telah selesai saya memang pulang dengan perasaan yang amat lapang tetapi bayangan manusia tidak berwajah yg berterbangan itu masih menghantui saya dan tidak saya fahami apakah itu dan kenapa saya seakan diperlihatkan dan kenapa saya tidak boleh berbahasa roh (seperti yang mereka katakan) sehinggalah kini.

Seperti amalan biasa Gerakan Karismatik, seminar ‘Hidup Baru Dalam Roh’ juga mempunyai ciri-ciri yang serupa seperti:

  • penyembuhan batin
  • bahasa yang asing dan tidak difahami (dan dianggap sebagai ‘bahasa roh’)
  • raungan (atau teriakan)
  • pengsan (tidak sedarkan diri)
  • menangis
  • muntah-muntah
  • perasaan yang lapang (tanpa penjelasan yang jelas)
  • bayangan yang luar biasa (seperti ‘makhluk seperti manusia, tidak berwajah, dan berterbangan tanpa tujuan)
  • peserta sering ‘risau’ kerana tidak mendapat ‘kurnia’ bahasa roh

[*kata ‘roh’ dieja dengan huruf kecil kerana tidak ada bukti bahawa roh itu adalah Roh Kudus]

Adakah pengalaman yang dialami oleh peserta ‘Hidup Baru Dalam Roh’ selaras dengan ajaran, doktrin dan dogma Katolik?

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘penyembuhan batin’?

Manusia yang diciptakan oleh Tuhan Allah mengikut rupa-Nya menjadikan manusia ini memiliki tubuh fizikal yang fana tetapi juga memperoleh jiwa (soul) yang kekal. Tubuh yang akan mati pada suatu hari nanti akan meninggalkan jiwa yang akan berhadapan dengan Tuhan Allah untuk penghakiman terakhir sama ada memperoleh kehidupan kekal di Surga atau menerima hukuman dahsyat di Neraka untuk selama-lama.

Seseorang yang sakit tubuh badan kerana infeksi kuman harus menerima rawatan hospital untuk kesembuhan. Tetapi bagi mereka yang melanggar Hukum Allah (berdosa) akan mengalami ‘kesakitan jiwa’. Adakah ‘kesakitan jiwa’ ini mempunyai kaitan dengan ‘penyembuhan batin’?

Apabila seseorang manusia berdosa mortal (berat), dia akan menerima hukuman sama ada di Neraka (jika dia meninggal dunia sebelum sempat untuk bertaubat) dan juga hukuman ‘temporal’ iaitu hukuman di dunia semasa dia masih hidup seperti manusia biasa.  Hukuman ‘temporal’ ini boleh jadi seseorang itu mengalami penyakit atau kesihatan badan yang teruk, keadaan keluarga yang porak poranda, hubungan suami isteri yang saling bercakaran, kehilangan sumber pendapatan, sering mengalami nasib buruk, ketagih dosa, diganggui oleh roh jahat dan sebagainya. Adakah ini merupakan suatu penyakit ‘batin’ atau ‘penyakit jiwa’? Jiwa sakit adalah disebabkan oleh dosa berat. Dosa ringan jika dipandang ringan dan kerap dilakukan,maka dosa itu juga boleh menjadi berat dan mortal. Punca ‘kesakitan jiwa’ atau ‘gangguan batin’ ialah DOSA MORTAL.

Perlu diingatkan di sini bahawa para ibu bapa yang sentiasa hidup dalam dosa mortal juga boleh menyebabkan anak-anak akan menerima tempias hukuman ‘temporal’ dari Tuhan Allah. Anak-anak yang tidak berdosa juga boleh mengalami ‘sakit jiwa’ atau ‘gangguan batin’ akibat perbuatan ibu bapa yang tidak bertanggungjawab.

Seseorang yang berdosa harus mencari kedamaian dengan Tuhan Allah, Pencipta. Tetapi bagaimana caranya? Seseorang tidak mungkin diselamatkan (masuk Surga) jika tidak mendapat rahmat (grace) daripada Tuhan Allah. Bagaimana dapat kita memperoleh rahmat dengan cuma-cuma? Tidak ada cara lain kecuali melalui ketujuh-tujuh Sakramen Kudus. Sakramen ini boleh dilihat sebagai ‘timba’ untuk mengambil ‘air’ (rahmat) dari telaga yang penuh dengan air kehidupan (merit daripada Yesus dan orang-orang kudus).

Sakramen Pembaptisan menghapuskan dosa asal dan juga dosa sebenar (jika orang dewasa). Sakramen Ekaristi merupakan Tubuh dan Darah Yesus untuk jiwa yang hidup (tanpa dosa berat) dan menyelamatkan. Sakramen Pengakuan untuk menghapuskan dosa berat mereka yang benar-benar bertaubat. Sakramen Karisma menguatkan seseorang umat Katolik apabila menerima dengan Roh Kudus dan menjadi askar Kristus. Sakramen-sakramen lain ialah Sakramen Imamat, Sakramen Perkahwinan dan Sakramen Exreme Unction (orang sakit).

Mereka yang keliru tentang semua ini harus mendapat pengajaran daripada seorang Paderi Katolik yang benar-benar mengutamakan pelayanan Kristus Yesus. Seseorang harus menerima KEBENARAN kerana kebenaran itu akan melenyapkan kepalsuan dan tipu helah Iblis lalu membebaskan manusia daripada ikatan dosa. Dengan kebenaran, maka kita mampu memperoleh kesedaran dan seterusnya pertaubatan yang ikhlas untuk menerima Sakramen Pengakuan/Pengampunan.  Sakramen Pengakuan jika diterima dengan layak dan pantas, dapat memberikan kesembuhan jiwa dan inilah sebenarnya ‘penyembuhan batin’. Tidak mungkin semuanya dapat diperolehi hanya melalui ‘tumpang tangan’ atau ‘curahan roh’ atau ‘bahasa roh’, atau pengsan, atau raungan, atau muntah, atau bayangan ganjil.  Penyembuhan sebenarnya memerlukan INTELEK atau PEMIKIRAN (pemahaman) dan bukannya ‘perasaan’ atau ’emosi’ semata-mata ataupun ‘rasa-rasa’ tanpa penjelasan yang munasabah.

Bahasa Asing/Bahasa Tidak Difahami/Bahasa Roh

Apabila dirujuk kepada Alkitab [Kis 2:4-12]:

2:4 Maka penuhlah mereka dengan Roh Kudus, lalu mereka mulai berkata-kata dalam bahasa-bahasa lain, seperti yang diberikan oleh Roh itu kepada mereka untuk mengatakannya. 2:5. Waktu itu di Yerusalem diam orang-orang Yahudi yang saleh dari segala bangsa di bawah kolong langit. 2:6 Ketika turun bunyi itu, berkerumunlah orang banyak. Mereka bingung karena mereka masing-masing mendengar rasul-rasul itu berkata-kata dalam bahasa mereka sendiri. 2:7 Mereka semua tercengang-cengang dan heran, lalu berkata: “Bukankah mereka semua yang berkata-kata itu orang Galilea? 2:8 Bagaimana mungkin kita masing-masing mendengar mereka berkata-kata dalam bahasa kita sendiri, yaitu bahasa yang kita pakai di negeri asal kita: 2:9 kita orang Partia, Media, Elam, penduduk Mesopotamia, Yudea dan Kapadokia, Pontus dan Asia, 2:10 Frigia dan Pamfilia, Mesir dan daerah-daerah Libia yang berdekatan dengan Kirene, pendatang-pendatang dari Roma, 2:11 baik orang Yahudi maupun penganut agama Yahudi, orang Kreta dan orang Arab, kita mendengar mereka berkata-kata dalam bahasa kita sendiri tentang perbuatan-perbuatan besar yang dilakukan Allah.” 2:12 Mereka semuanya tercengang-cengang dan sangat termangu-mangu sambil berkata seorang kepada yang lain: “Apakah artinya ini?”

Apabila para rasul menerima Roh Kudus, mereka kekal bercakap menggunakan SATU BAHASA tetapi orang luar yang datang melihat mereka terdiri daripada pelbagai bangsa dan mendengar kata-kata para rasul dalam bahasa ibunda mereka sendiri. Bukan itu sahaja, bahasa lain itu DITUJUKAN kepada mereka yang belum beriman supaya mereka mendengar KEBENARAN.

Bezakan situasi ini dengan apa yang telah terjadi semasa seminar ‘Hidup Baru Dalam Roh’? Masing-masing berbahasa roh dan menjadi keadaan bising dan bercelaru. Tiada siapa yang memahami apa yang dicakapkan. Kepada siapakah kata-kata ‘bahasa roh’ itu ditujukan? Kepada umat beriman atau tidak beriman?

Seperkara lagi, kenapakah para rasul menerima kurnia Bahasa Roh (‘gift of tongues’)? Kerana mereka perlu melaksanakan misi untuk menyebarkan agama Katolik kepada semua bangsa yang bertutur dalam pelbagai bahasa. Mereka merupakan RASUL ASAL KRISTUS. Ia merupakan permulaan Gereja pertama (Pentekos). Mereka merupakan Uskup/Paderi Katolik yang pertama dan diketuai oleh Sangti Petrus sebagai Sri Paus yang pertama.

Apabila mereka menerima ‘Roh Kudus’ dan juga ‘gift of tongues’, adakah mereka (para rasul) menjadi pengsan, muntah-muntah, berteriak (meraung), menangis, ketakutan (kerana melihat bayangan ganjil), menerima ‘penyembuhan batin, berasa lapang dan sebagainya? Tentu sekali tidak.

Adakah tujuan mereka menerima ‘Roh Kudus’ dan ‘gift of tongues’ kerana para rasul memerlukan ‘penyembuhan batin’?

Mereka yang menerima Roh Kudus telah dikuatkan dan menerima tujuh buah (gifts) Roh Kudus: iaitu: Kebijaksanaan, Kefahaman, Arah (Counsel), Kekuatan Iman (Fortitude), Pengetahuan, Halim dan Hormat Kepada Tuhan (Fear of the Lord).

Dan jangan lupa, anda tidak merasa apa-apa apabila menerima Roh Kudus tetapi bersyukur kerana dengan pasti Roh Kudus telah bertapak di dalam jiwa anda. Roh Kudus akan sentiasa kekal dan setia bersama-sama anda selagi anda beriman dalam Kristus.

Bayangan Ganjil

Bolehkan Roh Kudus dilihat? Roh Kudus adalah Tuhan Allah Persona Ketiga merupakan Roh. Roh bermaksud tidak mempunyai tubuh fizikal, oleh itu tidak dapat dilihat oleh mata biasa manusia. Tetapi untuk masa-masa tertentu, Roh Kudus boleh menampakkan diri-Nya. Apabila Yesus dibaptis oleh Yohanes Pembaptis, Roh Kudus muncul sebagai merpati (dove) dan telah disaksikan sendiri oleh Yohanes Pembaptis. Pada waktu Pentekos, Roh Kudus datang seperti angin yang meluru dengan pantas, dan hinggap di atas kepala para rasul dalam bentuk lidah api. Jadi, daripada Alkitab, kita tahu bahawa Roh Kudus mengambil bentuk tertentu iaitu:

  • merpati (yang melambangkan ‘kelembutan’ iaitu Roh Kudus bekerja secara ‘lemah lembut’ dalam diri umat)
  • angin yang meluru pantas (yang melambangkan ‘kekuatan’ kepada umat untuk melawan kuasa kegelapan)
  • lidah api (yang melambangkan ‘zeal’ (kemahuan yang tinggi), ‘fervor’ (benar-benar terjaga, bersemangat tinggi) dan menerangkan minda umat)

Oleh itu, buatlah keputusan sendiri bagaimana seseorang boleh mengenalpasti Roh Kudus. Sudah tentu, Roh Kudus bukan berbentuk ‘bayangan manusia yang tidak bermuka, berpakaian putih dan berterbangan tanpa arah’. Dalam sejarah Kristian, Roh Kudus hanya menampakkan diri-Nya semasa Pembaptisan Yesus dan semasa para rasul menerima Roh Kudus.

Kesimpulan

Untuk memperoleh ‘Hidup Baru Dalam Roh’, saya sarankan agar anda tekun mempelajari ajaran, doktrin dan dogma Gereja Roman Katolik. Inilah cara terbaik mendapat KEBENARAN.

Jangan lupa, gunakan sepenuhnya pemberian cuma-cuma daripada Tuhan Allah kita yang benar iaitu Sakramen-sakramen Kudus. Rahmat yang diperolehi daripada Sakramen akan dapat memberikan umat ‘penyembuhan batin’ yang sebenar iaitu KESELAMATAN JIWA. Kita akan mendapat ketenangan jiwa bukan kerana perasaan tetapi keyakinan penuh akan cinta kasih Yesus, Juruselamat Dunia.

Deo gratias.

Bacaan lanjut: Sila klik.

SIAPAKAH ROH KUDUS?

Saya terpanggil untuk menerbitkan artikel terjemahan tentang Roh Kudus sebagai usaha untuk memberi kefahaman kepada mereka yang keliru dengan aktiviti ‘pencurahan roh kudus’ dan juga ‘bahasa roh’ seperti yang berlaku dalam Gerakan Karismatik di dalam Gereja Roman Katolik.

1 Ketika tiba hari Pentakosta, mereka semua berkumpul di satu tempat. 2 Tiba-tiba terdengarlah bunyi dari langit seperti tiupan angin keras yang memenuhi seluruh rumah, di mana mereka duduk; 3 dan tampaklah kepada mereka lidah-lidah seperti lidah api yang bertebaran dan hinggap pada mereka masing-masing. 4 Lalu mereka semua dipenuhi dengan Roh Kudus dan mulai berbicara dalam bahasa-bahasa lain, seperti yang diberikan oleh Roh itu kepada mereka untuk dikatakan. [Kisah 2:1-4]

Roh Kudus (Holy Ghost) adalah Tuhan ALLAH, Persona Ketiga Tritunggal Allah Mahakudus.

1. Kristus kerapkali mengajar tentang Roh Kudus.
Dengan tegas, Kristus menyuruh para Rasul: “Karena itu, pergilah, jadikanlah semua bangsa murid-Ku dan baptislah mereka dalam nama Bapa dan Anak dan Roh Kudus” [Mat 28:19].

2. Dalam situasi tertentu, Roh Kudus menjelma dalam bentuk yang nyata. Apabila Kristus dibaptis oleh Yohanes Pembaptis, Roh Kudus menjelma dalam bentuk merpati. Pada hari Pentakosta, Roh Kudus turun seperti angin yang pantas, dan hinggap di atas kepala para Rasul dalam bentuk lidah api.
Tanda-tanda ini merupakan simbolik akan pekerjaan Roh Kudus. Bentuk merpati melambangkan kelembutan Roh Kudus bekerja dalam jiwa kita. Angin yang pantas mewakili proses penguatan kehendak jiwa. Api pula mewakili kesungguhan, semangat dan keterangan akal fikiran.

3. Roh Kudus muncul (proceeds) daripada Bapa dan Anak.
Ini bukan bermakna bahawa Roh Kudus mula wujud beberapa ketika selepas Bapa dan Anak. Roh Kudus muncul daripada Bapa dan Anak dari awal tanpa mengenal waktu. Roh Kudus merupakan antara Bapa dan Anak adalah seperti kehangatan daripada api, wujud dan muncul pada ketika yang sama. Tidak ada api tanpa kehangatan; jika ada api yang kekal, maka wujud juga kehangatan yang kekal. Oleh kerana wujudnya Bapa dan Anak yang kekal, maka wujud juga Roh Kudus yang kekal. Roh Kudus yang kekal merupakan cinta kasih antara Bapa dan Anak, tetapi cinta kasih itu bukan sekadar ‘perasaan’, tetapi Cinta Kasih itu adalah Tuhan Allah, Persona Ketiga Tritunggal Mahakudus.

4. Roh Kudus adalah setara dengan Bapa dan Anak, kerana Dia adalah Allah.
Allah yang benar seperti Bapa dan anak, Roh Kudus adalah kekal, mahatahu, mahakuasa. Persona Ketiga dipanggil Roh Kudus (Holy Spirit), daripada bahasa Latin spiritus, bermaksud ‘nafas’. Dia merupakan nafas yang datangnya daripada Bapa dan Anak. Dalam bahasa Inggeris, kita juga memanggilnya sebagai Holy Ghost (Roh Allah). Nama-nama lain yang merujuk kepada Roh Kudus ialah: Advocate, Paraclete, Consoler, Comforter, Substantial Love, Roh Kebenaran, dll.

Apakah peranan Roh Kudus dalam penyelamatan umat manusia? Roh Kudus tinggal dalam Gereja sebagai sumber kehidupan, menguduskan jiwa-jiwa melalui kurnia/anugerah rahmat.

1. Walaupun semua pekerjaan Allah bergantung kepada ketiga-tiga Persona Allah Tritunggal Mahakudus, kita menghubungkaitkan kerja menguduskan (sanctification) kepada Allah Roh Kudus, kerana Dia merupakan kesatuan cinta kasih antara Bapa dan Anak, pengudusan manusia oleh rahmat menunjukkan cinta kasih yang tidak terhingga.

Tidak tahukah kamu bahwa kamu sekalian adalah bait Allah dan bahwa Roh Allah diam di dalam kamu? [1 Kor 3:16]

2. Selepas penerimaan Sakramen Pembaptisan, kita menerima Roh Kudus ke dalam hati kita dan Dia kekal bersama-sama dengan kita selagi jiwa kita tidak dinodai dengan dosa mortal (berat). Ini merupakan kurnia ‘rahmat yang menguduskan’.
Jadi, kita mengatakan bahawa Roh Allah tinggal di dalam diri kita. Oleh itu, kita haruslah memelihara tubuh badan kita dengan penuh hormat, kerana ia merupakan tempat tinggal Roh Kudus. Roh Kudus diberikan dengan cara yang istimewa semasa Sakramen Penguatan dan juga Imamat.

3. Roh Kudus merupakan sumber kehidupan Gereja. Dia memberi petunjuk, memimpin dan memberikan kekuatan kepada Gereja seperti yang dijanjikan Kristus.

Jemaat itu dibangun dan hidup dalam takut akan Tuhan dan jumlahnya bertambah besar oleh pertolongan Roh Kudus. [Kis 9:31]

Masih banyak hal yang harus Kukatakan kepadamu, tetapi sekarang kamu belum dapat menanggungnya. Tetapi apabila Ia datang, yaitu Roh Kebenaran, Ia akan memimpin kamu ke dalam seluruh kebenaran; sebab Ia tidak akan berkata-kata dari diri-Nya sendiri, tetapi segala sesuatu yang didengar-Nya itulah yang akan dikatakan-Nya dan Ia akan memberitakan kepadamu hal-hal yang akan datang. [Yoh 16:12-13]

Bilakah Roh Kudus buat pertama kalinya tinggal di dalam Gereja secara nyata? Buat pertama kalinya Roh Kudus muncul di dalam Gereja ialah pada hari Ahad Pentekosta, apabila Roh Kudus turun ke atas para Rasul dalam bentuk lidah api.

Selepas Kenaikan Yesus ke Surga, para Rasul bersama-sama dengan Bonda Perawan Maria dan para murid lain, lelaki dan wanita, berjumlah kira-kira 120 orang, berkumpul di Cenacle, bilik tingkat atas di Yerusalem, tempat Perjamuan Akhir diadakan. Di sana mereka berdoa, menanti janji-janji Tuhan Kristus: Lihatlah, Aku akan mengirim kepadamu apa yang dijanjikan Bapa-Ku. Tetapi kamu harus tinggal di dalam kota ini sampai kamu diperlengkapi dengan kekuasaan dari tempat tinggi. [Luk 24:49]

1. Yesus telah berjanji akan menghantar Roh Kudus kepada para Rasul. Dia berkata semasa Perjamuan Suci: Namun benar yang Kukatakan ini kepadamu: Lebih berguna bagi kamu, jika Aku pergi. Sebab jikalau Aku tidak pergi, Penolong itu tidak akan datang kepadamu, tetapi jikalau Aku pergi, Aku akan mengutus Dia kepadamu. [Yoh 16:7]. Pada hari Pentekosta, sepuluh hari selepas Kenaikan Yesus ke Surga, Roh Kudus turun ke atas para Rasul dan murid-muridnya.
Pada hari Pentekosta, tiga ribu umat dibaptiskan selepas mendengar khutbah Santo Petrus. Ramai yang percaya, kerana para Rasul memiliki Bahasa Roh, iaitu, mereka bercakap dalam SATU BAHASA, tetapi mereka yang pelbagai bangsa mendengar dalam bahasa mereka masing-masing.

2. Kita merayakan kedatangan Roh Kudus sebagai Ahad Pentekosta, sepuluh hari selepas Khamis Kenaikan, lima puluh hari selepas Paska. Pentekosta bermaksud lima puluh.
Selama sembilan hari di Cenacle, para Rasul dan murid-murid menunggu kedatangan Roh Kudus dengan berdoa. Doa selama sembilan hari ini merupakan doa Novena yang pertama di Gereja. “Mereka semua bertekun dengan sehati dalam doa bersama-sama, dengan beberapa perempuan serta Maria, ibu Yesus dan saudara-saudara Yesus.” [Kis 1:14]. Sebagai meniru doa novena yang pertama itu, berdoa novena pada hari ini merupakan tradisi sebagai persediaan untuk perayaan besar Gereja. Kita juga mengadakan doa novena untuk permintaan dan kesyukuran.

Untuk berapa lama Roh Kudus akan tinggal di dalam Gereja? Roh Kudus akan tinggal di dalam Gereja sehingga akhir zaman.

Aku akan minta kepada Bapa, dan Ia akan memberikan kepadamu seorang Penolong yang lain, supaya Ia menyertai kamu selama-lamanya, yaitu Roh Kebenaran. [Yoh 14:16-17]

1. Roh Kudus senantiasa memerhatikan Gereja, melindunginya daripada dimusnahkan. Pada mulanya, Gereja tersebar luas dengan cepat. Apabila para Rasul telah meninggal dunia, walaupun ditentang hebat, Gereja dikenali di seluruh dunia. Jadi, Gereja telah tersebar ke seluruh bumi.
Justru mereka telah mendengarnya, “Suara pembawa berita sudah sampai ke seluruh dunia, dan perkataan mereka sampai ke ujung bumi” [Rom 10:18]

2. Roh Kudus bersaksi demi Kristus, dan menguatkan para Rasul untuk memberi kesaksian tentang Kristus.
Tuhan berkata: “Jikalau Penolong yang akan Kuutus dari Bapa datang, yaitu Roh Kebenaran yang keluar dari Bapa, Ia akan bersaksi tentang Aku. Tetapi kamu juga harus bersaksi, karena kamu sejak semula bersama-sama dengan Aku.” [Yoh 15:26,27]. Tetapi kamu akan menerima kuasa bilamana Roh Kudus turun ke atas kamu, dan kamu akan menjadi saksi-saksi-Ku di Yerusalem dan di seluruh Yudea dan Samaria dan sampai ke ujung bumi [Kis 1:8]. Rasul-rasul itu meninggalkan sidang Mahkamah Agama dengan sukacita, karena mereka telah dianggap layak menderita penghinaan oleh karena Nama Yesus. Sebab aku yakin bahwa penderitaan zaman sekarang ini tidak dapat dibandingkan dengan kemuliaan yang akan dinyatakan kepada kita. [Kis 5:41, Rom 8:18]

DEO GRATIAS.




  • Laman

  • Artikel Terkini

  • Artikel Popular

  • Kategori

  • Sila masukkan alamat e-mel anda untuk melanggan blog ini dan menerima pemberitahuan melalui e-mel apabila ada artikel baru diterbitkan.

    Join 52 other subscribers